Sunday 11 September 2011

Berakhirnya Ramadhan





Firman Allah dalam surah Al-Baqarah : 183
183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
Dalam ayat diatas jelas menunjukkan outcome terhadap orang-orang yang berpuasa adalah sejauh mana taqwanya meningkat. Kita? Adakah taqwa kita meningkat? Sesungguhnya untunglah orang-orang yang berjaya mendapat outcome yang dijamin oleh ALLAH ayat diatas. Siapakah orang-orang tersebut?
Mereka ialah orang orang merasai terkesannya diri untuk menjadi lebih baik, gembira sewaktu kedatangan ramadhan dan sedih sewaktu pemergiannya. Mengapa mereka merasai begitu? Sudah tentulah kerana ganjaran dan kebaikannya tidak ada di dalam bulan-bulan lain.
Antara kelebihan ramadhan ialah :
Pahala kebaikan digandakan. MasyaALLAH. Bayangkan kalau diluar ramadhan setiap satu kebaikan akan diberi sepuluh ganjaran, apatah lagi ramadhan?  Sebagai contoh, dengan membaca al-Quran, ganjarannya mengikut berapa huruf yang dibaca. Jika satu surah al-Fatihah di baca pada luar bulan ramadhan, setiap huruf di beri ganjaran sepuluh kebaikan. Jika dibulan ramadhan, hanya dengan surah al-fatihah berganda-ganda ganjarannya.  Apatah lagi yang menghabiskan satu Al-Quran. Begitu juga sedeqah dan sebagainya.
Allah membuka pintu keampunan seluas-luasnya. Sedangkan Rasulullah yang ma’sum pon setiap hari bertaubat kepada ALLAH, inikan lagi kita, manusia biasa, yang tidak diberi apa-apa jaminan syurga. Hanya orang-orang bijak sahaja yang mengambil peluang sehabis baik meminta keampunan di bulan ini. Setiap tangisan airmata yang keluar ikhlas kerana ALLAH itulah yang akan membantu menyelamatkan kita dari seksaan azab api neraka.
Malam lailatulqadar. Ganjaran yang ada pada malam ini sama seperti beribadat selama 1000 bulan atau bersamaan dengan 83 tahun. Mengikut salah satu pendapat ulama’ berdasarkan nas-nas, ia berlaku pada sepuluh malam ganjil sepuluh terakhir bulan ramadhan. Semua ciptaan ALLAH tunduk sujud dengan cara tersendiri pada malam itu, Inikan lagi manusia, yang diberi aqal, mereka perlulah lebih berusaha mencari malam ini.
Seperti firman Allah dalam (surah Al-Qadr : 1-5)
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
Doa dimakbulkan. Antara doa-doa akan ALLAH akan makbulkan dengan hebat ialah doa orang-orang yang berpuasa. Itupun jika puasa dilakukan dengan bersungguh-sungguh.  Berusaha untuk mencapainya, bukan setakat berdoa sahaja.
Dengan pemergian Ramadhan pada kali ini diharapkan memberi satu kekuatan dan latihan untuk terus istiqamah dalam melakukan amalan-amalan. Oleh itu wahai rakan sekalian, sambutlah aidilfitri dengan kegembiraan yang berpada-pada, janganlah sampai menjadikan syawal sebagai hari balas dendam atas segala apa yang kita tahan selama bulan ramadhan.
Kepada yang berusaha pergi bertarawikh di surau pada bulan ramadhan, teruskan usahamu untuk berjamaah fardhu di luar bulan ramadhan.
Kepada mereka yang berusaha berhenti merokok pada bulan ramadhan, teruskan usaha anda untuk berhenti merokok.
Kepada yang selalu menahan diri untuk mencarut pada bulan ramadhan, jaga mulutmu dari perkataan-perkataan yang tidak berguna itu selepas ramadhan.
Kepada mereka yang letih sujud berqiamullail pada bulan ramadhan, teruskan dengan bangun malam itu sepertimana kau mencari LailatulQadr di bulan ramadhan.
Kepada mereka yang menahan diri dari berdating dengan temanmu di bulan ramadhan teruskan usahamu membina pertalian suci diantara dua hati yang bukan muhrim.
Kepada mereka yang menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang terjurus kepada kelucahan semasa bulan ramadhan, jadikan syawal dan bulan-bulan seterusnya sebagai permulaan kepada pengakhiran.
Kepada mereka yang berusaha menutup aurat untuk bertarawikh di surau pada bulan ramadhan, teruskan usaha sucimu itu dibulan-ulan seterusnya. Agar ia menjadi kebiasaanmu kelak.
Dan begitulah selanjutnya, jadikanlah ramadhan sebagai latihan untuk kamu menjadi insan yang lebih berguna.
Terima kasih ALLAH kerana memberikan aku kesempatan untuk menghabiskan ramadhan pada tahun ini, dan sampaikanlah aku ke ramadhan seterusnya. Amin, Ya Rabbal- Alamin
Hadith Rasulullah SAW:
Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. -Riwayat Ahmad dan At Tabrani daripada Anas-

Melatih Anak Untuk Menunaikan Ibadah Puasa

RAMADAN telah tiba. Bulan yang penuh rahmat, berkah, dan ampunan itu sudah tiba. Sebagai ibubapa yang telah berpuluh kali menjalani ibadah puasa, tentu kita sudah tahu apa tujuan, makna, dan manfaat berpuasa. Tapi bagaimana dengan anak-anak kita?

Adalah tugas ibubapa untuk menjelaskan kepada anak-anak apa erti, makna, dan manfaat berpuasa. Jika tidak dijelaskan sejak mula, bulan Ramadan akan jatuh seperti "perayaan tahunan". ibubapa seharusnya melatih anak untuk berpuasa. Tapi melatih anak berpuasa tidak boleh dilakukan dengan cara paksa. Diperlukan proses yang bertahap. Tahap latihan puasa ini dapat diterapkan pada anak dengan waktu yang tak harus penuh. Misalnya, puasa sampai pukul 10 pagi, berbuka setelah azan zuhur berbunyi. Untuk dapat melatih anak berpuasa, ada beberapa cara yang dapat dilakuan.

Berikan perhatian ekstra.

Melatih anak berpuasa pada bulan Ramadan memerlukan perhatian ekstra. Namun perlu dicatat bahawa tujuan utama melatih anak-anak tumbuh kecintaan terhadap ibadah puasa. Kerana itu, dalam latihan, kegembiraan mereka menjalankan puasa harus lebih diutamakan daripada hasilnya secara kuantiti. Jangan sekali-kali memaksakan dan Jangan menuntut anak boleh berpuasa secara penuh.

Tidak makan dan minum.

Untuk anak usia 5-7 tahun, latihlah untuk tidak makan dan minum setiap dua atau tiga jam sesuai kemampuan mereka. Jika mereka sudah tidak boleh lagi menahan lapar, izinkan mereka berbuka dan tambahkan waktu berpuasa hari selanjutnya sampai terbiasa hingga waktu azan zuhur tiba. Bila sudah terbiasa dan merasa tidak terbeban, tambahkan hingga waktu azan asar tiba. Lalu lanjutkan hingga puasa penuh sampai matahari terbenam.

Membangunkan anak.

Untuk anak-anak, bangun untuk makan sahur bukanlah hal yang mudah. Kerana itu, ibubapa perlu sabar untuk membangunkannya. Tanpa emosi dan kemarahan. Buatlah suasana rumah menyenangkan, misalnya dengan alunan ayat suci Alquran, nasyid, mahupun lagu anak-anak, termasuk menikmati acara television.

Hidangan menu yang variatif.

Untuk menu makanan, pilihlah yang praktis dan variatif namun sudah cukup kalori. Susu, telur, dan roti, misalnya. Itu adalah pilihan menu yang sering disukai anak-anak. Dan mereka tak perlu waktu yang lama untuk memakannya. Menu itu mampu memenuhi keperluan kesihatan dan kekuatan tubuh untuk menjalani ibadah puasa.

Tahapan berbuka.

Jika anak belum berpengalaman puasa, kemudian ia minta berbuka bila-bila sahaja, izinkanlah. Jangan tolak. Namun setelah itu, berilah anak pengertian dan motivasi agar kemampuan berpuasanya semakin meningkat. Idea untuk selalu berpuasa setelah berbuka pun boleh dicuba. Setelah berbuka pukul sepuluh, katakan kepada mereka bahwa mereka bisa melanjutkan puasanya. Begitu seterusnya hingga tiba waktu magrib. Jangan lupa mengikutserta anak pada saat berbuka, walaupun mereka telah berbuka sebelumnya. Saat berbuka bisa menjadi "peristiwa rohani" yang membahagiakan anak.

Lenyapkan makanan dan minuman dari pandangan anak.

Singkirkan jauh-jauh makanan dan minuman dari pandangan anak-anak. Kosongkan meja serta almari makanan. Kegembiraan saat berbuka atau makan sahur bersama akan memberikan suasana yang lain pada diri anak kerana pada waktu berbuka puasa, seluruh keluarga biasanya berkumpul dan bergembira bersama.

Memberikan hadiah sebagai tanda penghargaan.

Memberikan hadiah atas perjuangan anak untuk berpuasa boleh menambah motivasi. Hadiah tidak perlu mahal atau berbentuk benda. Kalau mampu, tidak apa-apa. Kalau ternyata tidak, jangan memaksakan diri. Pujilah dia! Ingat, pujian bisa menjadi hadiah istimewa bagi anak.

Berikan permainan yang menyenangkan.

Untuk mengisi hari-hari anak berpuasa, ibubapa dapat memberikan permainan menyenangkan sehingga perhatian ke rasa lapar teralih. Misalnya, membuat kerajinan tangan dari biji-bijian, daun, manik-manik, dan lainnya. Atau juga memberikan sesuatu yang boleh digunting, digam, dikoyak, sehingga menghasilkan hasil yang menarik. Pilihan lainnya iaitu mengajak anak berkebun atau mengajak mereka memberikan sedekah kepada keluarga atau orang yang kurang beruntung dan biarkan mereka yang memberinya.

Puasa Melatih Sabar


Sabar artinya menahan diri, tertahan dan mengekang. Sabar bersifat umum kerana setiap manusia punya sifat sabar, namun kadangkala ia kalah dengan emosi yang membuat manusia cenderung  bertindak dengan hawa nafsu. Oleh sebab itu, manusia yang mempunyai kesabaran yang rendah disebut sebagai manusia emosional.
Islam (agama Islam) sangat menganjurkan bagi umatnya untuk berlaku sabar baik dalam perkataan mahupun perbuatan. Kerana sabar sangat indah bila kita dapat memahami dengan sepenuh hati dan orang sabar selalu beruntung. Sabar juga sebahagian dari ciri tinggiya keimanan seseorang bahkan ulama mengatakan sabar itu separuh  daripada iman, ia selalu ikhlas dalam segala urusan kerana apa pun yang Allah berikan pasti yang terbaik bagi dirinya.
“Innallaha ma’ashabiriin” Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar. Ini menandakan bahawa betapa pentingnya kesabaran dalam mengarungi hidup ini, Allah pun selalu bersama dengan orang-orang yang sabar, kerana manusia yang tidak sabar selalu ditemani oleh syaithan.
Puasa merupakan suatu perbuatan untuk melatih kesabaran selain banyak cara yang dapat dilakukan. Puasa mendidik kita untuk hidup sosial dan sederhana. Kita dilatih untuk menahan hawa nafsu sehingga dapat merasakan betapa sengsaranya tidak makan dan minum serta menjaga nilai-nilai puasa selama lebih kurang 14 jam. Waktu yang sangat lama dan dilakukan selama 29-30 hari, maka bagi orang yang benar-benar melakukannya pasti membuat dia berubah kepada sabar, emosinya akan terkekang selamanya. Kita dibuat miskin selama sebulan dan sama dengan orang miskin lainnya yang setiap hari berpuasa sepanjang tahun.
Adapun cara melatih diri untuk mendapatkan sabar, antara lain:*
1. Mengikhlaskan niat kepada Allah SWT, bahawa ia semata-mata berbuat hanya untuk-Nya. Dengan ini, kita dapat maningkatkan kesabaran dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT.
2. Memperbanyak tilawah (baca; membaca) al-Qur’an, baik pada pagi, siang, petang ataupun malam hari. Akan lebih optimal lagi manakala bacaan tersebut disertai renungan dan memahami makna-makna yang dikandungnya. Kerana al-Qur’an merupakan ubat bagi hati insan. Masuk dalam kategori ini juga zikir kepada Allah.

3. Memperbanyak puasa sunnah. Kerana puasa merupakan hal yang dapat mengurangi hawa nafsu 
terutama yang bersifat syahwat dengan lawan jenisnya. Puasa juga merupakan ibadah yang memang secara khusus dapat melatih kesabaran.
4. Mujahadatun Nafs, iaitu sebuah usaha yang dilakukan insan untuk berusaha secara giat dan maksima guna mengalahkan keinginan-keinginan jiwa yang cenderung suka pada hal-hal negatif, seperti malas, marah, kikir, dsb.
5. Mengingat-ingat kembali tujuan hidup di dunia. Kerana hal ini akan memacu insan untuk beramal secara sempurna. Sedangkan ketidaksabaran (isti’jal), memiliki potensi yang cukup besar untuk menjadikan amalan seseorang tidak optimal. Apalagi jika merenungkan bahawa sesungguhnya Allah akan melihat “amalan” seseorang yang dilakukannya, dan bukan melihat pada hasilnya. (Lihat QS. 9 : 105)
6. Perlu mengadakan latihan-latihan untuk sabar secara pribadi. Seperti ketika sedang sendiri dalam rumah, hendaklah dilatih untuk beramal ibadah dari pada menyaksikan television misalnya. Kemudian melatih diri untuk menyisihkan sebahagian rezeki untuk infaq fisabilillah, dsb.
7. Membaca kisah-kisah kesabaran para sahabat, tabi’in mahupun tokoh-tokoh Islam lainnya. Kerana hal ini juga akan memberi teladan yang patut dicontohi dalam kehidupan nyata di dunia.
*Sumber: www.eramuslim.com

Friday 9 September 2011

Kelebihan Berpuasa Dari Sudut Sains

Puasa memiliki banyak hikmah dan manfaat untuk tubuh, ketenangan jiwa, dan kecantikan. Semasa berpuasa, organ-organ tubuh dapat beristirehat dan sel dalam tubuh boleh berkumpul untuk bertahan. Puasa juga boleh mengeluarkan kotoran, toksin/racun dari dalam tubuh, meremajakan sel-sel tubuh dan menggantikan sel-sel tubuh yang sudah rosak dengan yang baru serta untuk memperbaiki fungsi hormon, menjadikan kulit sihat dan meningkatkan daya tahan tubuh kerana manusia mempunyai kemampuan terapi secara semulajadi.

Puasa dapat membuat kulit menjadi segar, sihat, lembut, dan berseri. Kerana setiap saat tubuh mengalami metabolisme tenaga, iaitu peristiwa perubahan dari energi yang terkandung dalam zat gizi menjadi tenaga potensi dalam tubuh. Sisanya akan disimpan di dalam tubuh, sel ginjal, sel kulit dan kelopak mata serta dalam bentuk lemak dan glikogen.

Beberapa cendekiawan telah melakukan beberapa ujian tentang puasa diantaranya secara ringkas dibawah ini:

1. Allan Cott, M.D - Seorang pakar dari Amerika Syarikat, telah menghimpun hasil pengamatan dan penelitian para ilmuwan berbagai negara, lalu menghimpunnya dalam sebuah buku Why Fast iaitu berbagai hikmah puasa, antara lain:
a. To feel better physically and mentally (merasa lebih baik secara fizikal dan mental).
b. To look and feel younger (merasa lebih muda).
c. To clean out the body (membersihkan badan)
d. To lower blood pressure and cholesterol levels (menurunkan tekanan darah dan kadar lemak.
e. To get more out of sex (lebih mampu mengendalikan seks).
f. To let the body health itself (membuat badan sihat dengan sendirinya).
g. To relieve tension (mengendurkan ketegangan jiwa).
h. To sharp the senses (menajamkan fungsi sense).
i. To gain control of oneself (memperolehi kemampuan mengendalikan diri sendiri).
j. To slow the aging process (memperlambat proses penuaan).

ebook fast Antara buku tulisan Allan Cott, M.D berkaitan puasa.

2. Dr. Yuri Nikolayev - Pengarah bahagian diet di Moscow menilai kemampuan untuk berpuasa yang mengakibatkan orang yang menjalaninya boleh menjadi awet muda, sebagai suatu penemuan (ilmu) terbesar abad ini. Beliau mengatakan: what do you think is the most important discovery in our time? The radioactive watches? Exocet bombs? In my opinion the bigest discovery of our time is the ability to make onself younger phisically, mentally and spiritually through rational fasting. (Menurut pendapat anda, apakah penemuan terpenting pada abad ini? Jam radioaktif? Bom exoset? Menurut pendapat saya, penemuan terbesar dalam abad ini ialah kemampuan seseorang membuat dirinya tetap awet muda secara fizikal, mental, dan spiritual, melalui puasa yang rasional).

3. Alvenia M. Fulton - Direktor Lembaga Makanan Sihat “Fultonia” di Amerika Syarikat menyatakan bahawa puasa adalah cara terbaik untuk memperindah dan mempercantik wanita secara semulajadi. Puasa menghasilkan kelembutan pesona dan daya pikat. Puasa menormalkan fungsi-fungsi kewanitaan dan membentuk kembali keindahan tubuh (fasting is the ladies best beautifier, it brings grace charm and poice, it normalizes female functions and reshapes the body contour).

4. Muzam MG, Ali M.N dan Husain berpendapat bahawa puasa juga selamat untuk pesakit yang mempunyai gangguan ulser. Penelitian dilakukan oleh Muzam MG, Ali M.N dan Husain dalam tindakan terhadap kesan puasa ramadhan terhadap sakit perut.

5. Elson M. Haas M.D. - Direktor Medical Centre of Marin (sejak 1984) mengatakan dalam puasa merupakan bahagian dari trilogy nutrision, balancing, building( toning). Elson percaya bahwa puasa adalah bahagian yang hilang “missing link” dalam diet di dunia barat. Kebanyakan orang di barat over eating atau terlalu banyak makan, makan dengan protein yang berlebihan dan lemak yang berlebihan. Sehingga ia menyarankan agar orang lain mulai mengatur makanannya agar lebih seimbang dan mulai berpuasa, kerana puasa bermanfaat sebagai: purifikasi, peremajaan, istirahat pada organ pencernaan, anti aging, mengurangi alergi, mengurangi berat badan, mengawal mental dan emosi, perubahan kebiasaan dari kebiasaan makan yang buruk menjadi lebih seimbang dan lebih terkawall, meningkatkan daya tahan tubuh.

Puasa dapat mengubati penyakit seperti Influeza, bronkitis, diare, konstipasi, alergi makanan, asma, aterosklerosis, penyakit jantung koroner, hipertensi, diabetes, obesitas, kanker, epilepsi, sakit pada punggung, sakit mental, angina pectoris (sakit dada kerana jantung), panas dan insomnia.

6. Dr Sabah al-Baqir dan kawan-kawan mengatakan bahawa puasa dapat mengurangi jumlah hormon melawan stress. Dia bersama kumpulan dari Falkuti kedoktoran Universiti King Saud yang melakukan studi terhadap hormon prolaktin, insulin dan kortisol, pada tujuh orang laki-laki yang berpuasa sebagai sampel. Hasilnya bahawa tidak ada perubahan signifikan pada level kortisol. Prolaktin, dan insulin. Ini menunjukkan bahawa puasa bulan ramadhan bukanlah pekerjaan yang memberatkan, dan tidak mengakibatkan tekanan mental maupun saraf.

7. Dr Riyadh Sulaiman dan kawan-kawan - Tahun 1990 dari RS Universiti King Khalid, Riyadh Saudi melakukan penelitian terhadap pengaruh puasa Ramadhan terhadap 47 penderita diabetes tahap kedua (pesakit yang tidak tergantung insulin). Dan sejumlah orang sihat. Hasil penelitian menunjukkan bahawa puasa bulan ramadhan tidak menimbulkan penurunan berat badan yang signifikan. Tidak ada pengaruh apapun yang bererti pada kawalan penyakit diabetes diabetes dikalangan penderita ini. Sejauh ini puasa Ramadhan selamat sahaja bagi penderita diabetes sejauh dilakukan dengan kesedaran dan kawalan makanan serta ubat-ubatan.

8. Dr. Muhammad Munib dan kawan-kawan dari Turki juga melakukan sebuah kajiselidik terhadap seratus responden muslim, Sampel darah mereka diambil sebelum dan diakhir bulan ramadhan, untuk dilakukan analisis dan pengukuran terhadap kandungan protein, total lemak (total lipid), lemak fosfat, asam lemak bebas, kolesterol, albumin, globulin, gula darah, tryglycerol, dan unsur-unsur pembentuk darah lainnya, dan didapat, antara lain bahwa terjadi penurunan umum pada kadar gula (glukosa) dan tryacyglicerol orang yang berpuasa, terjadinya penurunan parsial dan ringan pada berat badan, tidak terlihat adanya aseton dalam urin, baik dalam awal maupun akhir puasa, sebab sebelum puasa ramadhan, kenyataan ini menegaskan tidak adanya pembentukan zat-zat keton yang berbahaya bagi tubuh selama bulan puasa islam, Dengan keutamaan puasa, glikogen dalam tubuh mengalami peremajaan, memompa gerakan lemak yang tersimpan, sehingga menghasilkan energi yang lebih meningkat.

Sejak zaman dulu puasa dipakai sebagai pengubatan yang terbaik seperti kata Plato bahwa puasa adalah untuk mengubati sakit fizikal dan mental. Philippus Paracelsus mengatakan bahwa “Fasting is the greatest remedy the physician within!”

Puasa sudah diakui menjadi penyembuh terhebat dalam menangani penyakit, bahkan di Amerika ada pusat puasa yang diberi nama “Fasting Center International, Inc”, Director Dennis Paulson yang berdiri sudah sejak 35 tahun yang lalu, dengan pesakit dari 220 negara. Yang mencadangkan Puasa dalam:
(1) program penurunan berat badan,
(2) mengeluarkan toxin tubuh,
(3) puasa dapat memperbaiki energy, kesehatan mental, kesehatan fisik dan yang paling terpenting meningkatkan kualiti hidup.

Cara Menyambut Kedatangan Ramadhan


1. Berdoa semoga Allah melanjutkan usia kita dan dapat menyambut bulan Ramadan sebagaimana yang diamalkan oleh ulama silam, di samping memohon pertolongan-agar dapat berpuasa, qiamullail dan beramal soleh padanya.
2. Membersih diri dan bersuci, iaitu membersihkan diri dan jiwa dengan taubat daripada segala dosa dan maksiat. Taubat ini adalah wajib pada setiap waktu. Taubat bukanlah sekadar meninggalkan perbuatan dosa. Bahkan ia memerlukan pengembalian seluruh jiwa raga kepada Allah s.w.t.
3. Menyediakan diri bagi menyambut kedatangan Ramadan dengan menunaikan ibadat puasa sunat pada bulan Syaaban serta amalan kebaikan lain. Ia merupakan bulan diangkatkan segala amalan manusia kepada Allah s.w.t.
4. Antara perkara terpenting ialah mempelajari hukum-hakam puasa, mengetahui sunah Nabi SAW serta hukum hakam puasa sebelum menghampiri bulan tersebut.
5. Agenda seterusnya ialah menyediakan jadual ibadah untuk bulan yang mulia itu dengan program yang memenuhi waktu yang amat berharga bagi diri kita, keluarga, rakan-rakan dengan membaca al-Quran, tadarus, qiamullail, menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka, mengerjakan umrah, iktikaf, bersedekah, berzikir, membersihkan jiwa dan raga, dan seterusnya.
Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu namanya ‘al-Rayyan’. Orang yang berpuasa masuk syurga melalui pintu itu. Orang lain tidak akan memasukinya. (riwayat Bukhari)
Sebagai penutup bicara, marilah sama-sama kita hayati kata-kata ini:
“Wahai mereka yang belum cukup baginya dosa pada bulan Rejab, sehingga menderhakai Tuhannya pada bulan Syaaban, telah datang kepadamu bulan puasa selepas kedua-duanya.
Janganlah jadikannya juga bulan kemaksiatan, kerana ia adalah bulan al-Quran dan bulan tasbih.
“Berapa ramai orang-orang terdahulu yang kamu kenal telah berpuasa di antara jiran tetangga dan sahabat handai?
“Mereka telah meninggal dunia sedangkan kamu masih hidup. Alangkah hampirnya masa mereka yang telah pergi dengan yang masih tinggal.
Ya Allah, sampaikan kami kepada bulan Ramadan, supaya kami dapat menunaikan ibadah puasa dan amalan soleh. Tetapkan pendirian kami di dalam ketaatan kepada-Mu sehingga kami menemui-Mu. Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Menyahut doa-doa kami”.

Bazar Ramadhan


Apabila datang Ramadhan yang mulia, banyak tempat akan mengadakan pasar yang menyediakan banyak pilihan makanan dan juadah untuk berbuka puasa.  Pasar ini yang juga lebih dikenali sebagai ‘Bazar Ramadhan’ sangat memberi faedah buat masyarakat terutamanya buat pasangan suami isteri yang bekerja.  Kesuntukan masa dan kepenatan balik dari tempat kerja tidak mengizinkan mereka untuk menyediakan juadah berbuka puasa dengan sendiri.  Justeru, ‘Bazar Ramadhan’ adalah jawapannya.
Adanya ‘Bazar Ramadhan’ bukan sahaja menyediakan kemudahan buat masyarakat, malah peluang seperti ini sangat dinanti-nantikan oleh para peniaga.  Betapa Ramadhan menyediakan peluang buat mereka untuk menggandakan pendapatan.  Syukur alhamdulillah.
Masing-masing tahu akan kebaikan ‘Bazar Ramadhan’.  Jadi, tulisan ini bukanlah mahu membincangkan tentang kebaikannya.  Kerana kebaikannya semua sudah maklum.
Tulisan ini dibuat bagi memberi peringatan kepada pembaca sekalian supaya berhati-hati tatkala menghadiri ke ‘Bazar Ramadhan’.  Kerana sangat jelas pembaziran banyak berlaku kepada setiap orang yang masuk ke sana.  Supaya ‘Bazar Ramadhan’ tidak menjadi ‘Bazir Ramadhan’.

Pembaziran Wang

Sebut sahaja menu apa pun, tentu boleh dijumpai di Bazar Ramadhan. Samada ala-kampung, ala-bandar, ala-arab, ala-cina, ala-barat atau lain-lain ala, boleh dikatakan ada tersedia di Bazar Ramadhan.  Lelaki atau perempuan yang selama ini mengidam sesuatu jenis makanan, menggunakan masa ini untuk menyampaikan hajat masing-masing.
Disebabkan perut sedang lapar dan tekak sedang haus, jadi ramailah yang terlajak tatkala membeli-belah.  Itu nak, ini pun nak.  Kesemua sepuluh jari hampir dipenuhi dengan plastik-plastik bungkusan makanan untuk dibawa pulang berbuka puasa.  Sedangkan yang diperlukan hanya dua atau tiga jenis makanan sahaja untuk berbuka puasa.  Maka berlakulah pembaziran wang.

Pembaziran Makanan

Akibat dari pembelian yang terlebih, kadang-kadang seseorang tidak dapat menghabiskan makanan-makanan yang dibeli.  Kuih lima biji, hanya 2 biji dimakan.  Nasi sebekas, hanya suku diusik.  Juadah-juadah yang lain hanya diusik sepertiga sahaja.  Hasilnya, banyaklah makanan yang terbiar begitu sahaja yang akhirnya ke tong sampah destinasinya.  Menyedihkan.
Dari pembaziran wang, terjadi pula pembaziran makanan.  Alangkah baiknya jika wang yang lebih itu dibeli makanan untuk golongan anak yatim, miskin atau yang susah kehidupannya.  Betapa sayunya hati mereka jika mereka melihat perbuatan sesetengah kita yang membazirkan makanan.  Sedangkan mereka sangat susah untuk mendapat sesuap nasi.
Pembaziran makanan ini bukan sahaja terjadi kepada si pembeli, malah si peniaga juga kadang-kadang terpaksa membuang makanan yang tidak habis dijual ke dalam tong sampah.  Mungkin jika makanan itu masih dalam keadaan baik, boleh dipertimbangkan untuk ia diberikan kepada surau atau masjid untuk dijadikan juadah moreh atau minum malam golongan-golongan yang susah.

Pembaziran Masa

Ramai yang membazir masa di Bazar Ramadhan.  Terutama para remaja yang sekadar ingin berjalan-jalan di pasar tersebut.  Ada yang cuma hendak berjumpa dengan rakan-rakan atau mungkin juga ingin ‘mencuci mata’.  Yang dewasa juga kadang-kadang meluangkan masa sehingga sejam atau dua jam berjalan-jalan di Bazar Ramadhan bagi mencari makanan untuk berbuka puasa.  Kadang-kadang sudah dua pusingan berjalan, masih belum berjumpa lagi dengan juadah yang berkenan di hati.
Masa yang terluang itu dibazirkan begitu sahaja.  Sedangkan lebih baik masa itu diluangkan untuk berada di rumah bersama keluarga.  Diisi dengan ramah mesra dengan ahli keluarga atau sesi tadzkirah bersama keluarga.  Ataupun membaca al-Quran sehelai dua.  Perbuatan sebegini tentunya lebih melahirkan faedah yang banyak buat diri.

Pembaziran Tenaga

Hasil dari pembaziran masa, berlakulah juga pembaziran tenaga.  Disebabkan masa yang diluangkan untuk berjalan-jalan di Bazar Ramadhan terlalu lama, jadi banyak tenaga dibazirkan di situ.  Badan mudah menjadi letih dan ini dikhuatiri akan memberi kesan kepada ibadah yang bakal yang dilakukan pada sebelah malam.  Sedangkan banyak lagi aktiviti yang lebih bermanfaat yang boleh dilakukan dari menggunakan tenaga yang ada untuk terlalu lama berada di Bazar Ramadhan.

Pembaziran Pahala

Seperti yang kita ketahui, Bazar Ramadhan selalu dihadiri oleh berbagai lapisan masyarakat dan kaum.  Mengikut pengalaman yang lepas, apabila hadir ke Bazar Ramadhan, cabaran untuk menjaga pandangan mata amat tinggi, terutama buat lelaki muslim.  Memang lumrah dan fitrah lelaki suka melihat wajah dan susuk wanita.  Jika gagal menjaga pandangan mata, maka terbazirlah pahala-pahala puasa Ramadhan begitu sahaja.
Ramainya orang di sana juga menyebabkan lidah juga kadang-kadang tidak terkawal.  Minda juga berfikir yang bukan-bukan.  Ditambah pula aktiviti berlanggar bahu antara lelaki dan perempuan yang kadang-kadang tidak dapat dielakkan.  Bukan itu sahaja, malah persentuhan kulit antara penjual dan pembeli yang bukan mahram juga selalu terjadi.  Pahala yang penat lelah sudah dikutip sejak pagi jatuh satu persatu diganti dengan dosa.
Si peniaga pula kadang-kadang untuk melariskan jualan, mulalah ‘menanam tebu di pinggir bibir’.  Cakap itu dan ini.  Sebahagiannya ada yang tidak benar.  Maka, terbazirlah pahala puasa si peniaga.
Justeru, para pembeli dan peniaga mesti hati-hati sungguh dalam bab ini.  Jika ingin ke Bazar Ramadhan untuk membeli keperluan untuk berbuka puasa, ya silakan.  Tetapi mesti ditundukkan pandangan mata, dijaga lidah dan lain-lain pancaindera.  Apabila semua keperluan sudah dipenuhi, keluarlah dari Bazar Ramadhan dengan segera supaya tidak berlaku pembaziran pahala.

Pembaziran Peluang

Ramadhan datang dalam setahun hanya sekali.  Disebabkan oleh ia datang sekali setahun, maka peluang untuk mengutip semua kebaikan di dalam bulan Ramadhan tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
Sayang sekali, ramai di kalangan penjual terlepas ibadah-ibadah sunnat yang utama kerana mereka terlalu menumpukan perhatian mereka kepada peluang untuk mendapat keuntungan di Bazar Ramadhan.  Peluang untuk mendapat pahala yang besar di dalam bulan Ramadhan seperti solat fardhu secara berjemaah khususnya pada waktu Asar dan Maghrib dibazirkan dan dilepaskan begitu sahaja.  Malah kadang-kadang amalan seperti membaca al-Quran dan berdzikir juga tidak dilakukan disebabkan oleh persiapan untuk berniaga yang dilakukan sejak dari pagi lagi.
Alangkah bagusnya jika para peniaga dapat mengambil cakna dalam hal ini.  Kita doakan agar mereka semua diberikan hidayah dan taufiq oleh ALLAH agar mempunyai sifat ingin berlumba-lumba untuk mengejar keuntungan di akhirat juga, bukan setakat keuntungan di dunia.

Jangan Membazir

Semoga dengan tulisan ini bisa menjadikan kita semua lebih berhati-hati tatkala berada di Bazar Ramadhan.  Janganlah kebaikan yang terdapat di Bazar Ramadhan itu memberikan keburukan buat diri kita, terutama dalam bab pembaziran.
ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman yang maksudnya:  “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”  (Surah Al-Isyra’, ayat ke 27)
Pembaziran adalah perbuatan Syaitan.  Dan orang-orang yang terlibat dengan pembaziran adalah tergolong di dalam kalangan saudara kepada Syaitan.  Moga kita semua dijauhi dari sifat yang buruk ini, amin.
Ambillah peluang Ramadhan yang hanya hadir sekali dalam setahun ini sebaik-baiknya.  Janganlah kita bazirkan wang, makanan, masa, tenaga, pahala dan peluang berada di bulan yang mulia ini dengan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah.  Mudah-mudahan kita semua bertaqwa, amin.

Tanda-tanda kehadiran malam lailatulqadar




Kata sesetengah ulama, Lailatulqadar berlaku pada satu malam tertentu seperti malam 21 dan 23 Ramadan. Ini menurut Imam Syafie r.a dan sesetengah ulama kerana ada hadis Bukhari dan Muslim yang menceritakan Lailatulqadar berlaku pada malam tersebut sehingga Rasulullah saw sujud dan dahinya yang mulia masih berlumuran tanah pada malam itu. Ada sesetengah ulama, tidak menentukannya secara pasti dan ada juga ulama terutama dari kalangan para zuhad dan sebagainya mengira dengan hari permulaan puasa.

Menurut mereka, sekiranya permulaan puasa jatuh pada hari Ahad atau Rabu maka Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-29. Jika bermula puasa pada hari Jumaat atau Selasa, ia jatuh pada hari ke-27 dan jika permulaan puasa pada Khamis, Lailatulqadar berlaku pada 25 Ramadan. Sekiranya awal puasa pada Sabtu maka Lailatulqadar jatuh pada hari ke-23 dan jika awal puasa pada Isnin, seperti tahun ini, maka Lailatulqadar jatuh pada malam yang ke-21. Demikianlah kaedah yang diguna pakai oleh sebahagian ulama termasuk Imam Abul Hasan r.a. Tegas beliau: Aku tidak pernah terlepas malam Lailatulqadar tersebut dengan menggunakan kaedah ini''. 

Tanda dan alamatnya adalah banyak, antara lain malam itu sendiri berlalu dengan penuh keheningan dan tenteram, angin bertiup lembut sepoi-sepoi bahasa dan esoknya, pada pagi hari kelihatan langit agak redup dan cahaya matahari tidak begitu menyinari ruang angkasa dan macam-macam lagi. Hikmatnya ialah apabila seseorang mengetahui malam Lailatulqadar tersebut, maka eloklah diperbanyakkan doa dan istighfar juga ibadat pada malam dan keesokannya, untuk mendapatkan fadilat hari yang penuh berkat dan mulia itu. Yakinlah apabila seseorang itu bersedia setiap malam Ramadan dengan ibadat, sekurang-kurangnya bersolat jemaah setiap waktu, Maghrib, Isyak dan Subuh, kata ulama dia pasti memperoleh fadilat malam Lailatulqadar 

Oleh itu bersolatlah dengan tekun dan berterusan terutama pada bulan Ramadan al-Mubarak ini. Walau tinggal beberapa hari saja lagi malam-malam di bulan Ramadhan, pastikan kita menjadi juara diakhirnya nanti. Semoga Ramadhan kali ini menjanjikan kita kemenangan. Kemenangan melawan dan menguasai hawa nafsu. InsyaAllah.